Saturday, July 17, 2010

Syarat-Syarat Penerimaan Masuk Peguam Syarie di Kuala Lumpur



Melalui Seksyen 59 (2) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kelulusan Yang DiPertuan Agong, membuat Kaedah-kaedah Peguam Syari’e 1993.

Di dalam Bahagian III, Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Di Wilayah Persekutuan dinyatakan bahawa penerimaan masuk peguam syarie hendaklah dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syarie.

Kaedah 10 tentang perlantikan seorang Peguam Syarie memperuntukkan kelayakan seseorang sebelum dilantik sebagai Peguam Syarie

10. Seseorang boleh diterima menjadi Peguam Syarie jika dia-

(a) (i) seorang Islam dan telah lulus peperiksaan akhir yang membawa kepada ijazah sarjana muda Syariah dari mana-mana universiti atau mana-mana institusi pengajian Islam yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia atau


(ii) seorang Islam yang menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau


(iii) seorang Islam yang menjadi peguambela atau peguamcara yang didaftarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 ;atau


(iv) telah berkhidmat sebagai Hakim Syarie atau kathi dengan mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun;

(b) telah mencapai umur dua puluh satu tahun;

(c) berkelakuan baik dan -
(i) tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah ;
(ii) tidak pernah dihukum menjadi bankrap;

(d) seorang Warganegara Malaysia ; dan

(e) sebagai seorang peguambela dan penguamcara , telah lulus peperiksaan Sijil Peguam Syarie.

Di antara ciri-ciri yang membezakan Kuala Lumpur dan Selangor adalah pemohon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mestilah beragama Islam dan sekiranya beliau adalah seorang Peguambela dan Peguamcara, pemohon mestilah telah menduduki dan lulus peperiksaan Peguam Syarie yang dijalankan oleh Jawatankuasa Peguam Syarie Kuala Lumpur.

Seterusnya jika seseorang itu adalah merupakan seorang Hakim Syarie dan ingin memohon manjadi peguam syarie, beliau mestilah telah berkhidmat melebihi 7 tahun. Syarat ini seperti mengengkang Hakim-Hakim Syarie dan Kathi kerana kerana mereka sendiri adalah seorang yang berkelayakan. Lebih-lebih lagi jika dibandingkan dinegeri Selangor yang juga menerima masuk Penasihat Undang-Undang Negeri dan Peguam Persekutuan sebagai Peguam Syarie tanpa syarat. Oleh yang demikian di Kuala Lumpur, Peguam Persekutuan juga mestilah ditauliahkan sebagai Peguam Syarie jika dibandingkan dengan negeri selangor.

Cara Memohon.
Permohonan dibuat melalui Borang A yang sama dengan Borang 1 di Selangor kecuali Borang A tidak memerlukan 2 deklarasi menyatakan pemohon pernah disabitkan atas mana-mana kesalah jenayah atau disabitkan seorang bankrap. Juga tidak ada keperluan mendapatkan 2 orang sebagai Rujukan seperti di Selangor.
Satu temuduga akan dilakukan sebelum pemohon menduduki peperiksaan. Setelah lulus peperiksaan, pemohon mestilah mengemukakan nama firma dan tempat amalan syarie kepada jawatankuasa peguam syarie dan yuran pendaftaran sebanyak RM100. Penerimaan masuk pegiuam syarie di Kuala Lumpur juga dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

1 comments:

sumayyah said...

macam yang sekarang memerlukan diploma lanjutan drpd mn2 institusi x? macam DAIJ atau DSLP?

Post a Comment